Thursday, February 24, 2011

Malam yang sunyi, suasana kelam yang menyamankan

Tanggal 25feb2011, suasana malam itu amat sunyi. Seolah-olah tiada sebuah kereta mahupun haiwan peliharaan ataupun kelibat manusia di sekitar Flat Kenanga di Taman Putra Sulaiman Ampang ini. Dalam keadaan yang sebegini sunyi, hatiku tidak senang seperti merasakan sesuatu kegelisahan yang bermain-main di fikiranku. Namun, aku sendiri tidak tahu akan sebab serta musabab yang mnjadikan keadaan seperti itu. Puas aku memaksa mata ini untuk lelap dan menjengah ke alam mimpi yang amat digemari oleh sekelompok manusia.

Di sudut bilik sewa ku ini, ku melihat, saudara seagamaku, yang sedang lena di buai mimpi, ingin saja aku meneliti mimpi apa yang sedang mengulik beliau sehingga kecerahan cahaya komputer ku ini tidak sedikit membuatkan tidurnya itu goyah. Kadang-kadang aku selalu berfikir, mengapa aku tidak mendapat nikmat seperti itu. Mungkin perbezaan rezeki kurniaan Allah yang diberikan antara kami. Tetapi, sebagai seorang hambanya, aku tetap bersyukur kerana lebih banyak nikmat yang aku kecapi sejak bergelar manusia yang hidup di dunia ini.

Sebenarnya, setelah aku menyelami hati dan perasaan aku yang sedikit gelisah ini sehingga membawa ku kepada keadaan sedar yang terlampau ini, akhirnya, aku mengetahui yang sebenarnya aku rindu kepada Nya. Sudah lama aku tidak merasa sebegini rupa kerana selama ini hambatan kerja ku sebagai seorang pelukis pelan pelatih amat sibuk apatah lagi semasa itu aku bekerja dengan seorang engineer India yang tidak pernah kenal erti rehat yang selalu membuatkan aku terkejar-kejar akan dateline.

Aku berfikir lagi, sepatutnya, kerinduan seperti ini perlu selalu aku rasa kerana inilah yang membuatkan kita semua merasa kemanisan iman dengan menikmati rasa cinta kepada Penciptanya. Manisnya bercinta adalah rindu dan disulami pula dengan pertemuan setelah kerinduan yang lama memuncak. Jadi, kerinduan ini patut aku manfaatkan dengan sujud kepada yang maha Esa.

Aku rasakan, setakat ini sahaja luahan hati ku yang gelisah ini untuk peringatan kita semua sebagai umat Islam. Sehingga berjumpa lagi.

Assalamualaikum dan selamat malam.

No comments:

Post a Comment